<bgsound src="http://onlinerock.com/clubs/eifan82//toshiro_masuda_-_morning.mp3" loop="infinite"> kedamaian: MGSS-News : Frühlingsgrüsse

April 08, 2005

MGSS-News : Frühlingsgrüsse

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Semester baru musim panas atau Sommersemester 2005 tiba lagi dan membawa seribu makna kepada kita para pelajar Malaysia di Jerman. Bagi ‘Batch Senior’ yang akan atau telah pun menamatkan pengajian Diplom/Masters/PhD mereka tahun ini, mereka menjadi pembakar semangat kepada kita untuk juga menamatkan pengajian dengan jayanya dalam masa yang ditetapkan. Susah senang belajar di negara orang menjadi asam garam hidup kita di sini. Bagi pelajar baru yang memulakan Semester pertama atau Ausländischerstudienkolleg – ASK tahun ini diharapkan cekal menghadapi cabaran baru belajar di Jerman.

Malaysian-German Students’ Society - MGSS pada tahun ini juga terus mengorak langkah sebagaimana tahun-tahun sebelumnya sebagai satu kesatuan pelajar mewakili seluruh pelajar Malaysia di Jerman. Mesyuarat Agung tahunan (AGM) MGSS telah berlangsung dengan jayanya pada 26 Desember 2004 yang lepas dan barisan pimpinan baru MGSS telah dipilih untuk meneruskan matlamat penubuhan dan halatuju MGSS pada tahun ini. Saya mewakili rakan-rakan ahli majlis tertinggi MGSS mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang ditunjukkan semua melalui AGM lepas dan akan cuba berusaha sedaya mungkin memberikan khidmat terbaik. InsyaAllah dengan sokongan semua, dari semua bandar seluruh Jerman, MGSS sebagai platform untuk kita berinteraksi dan merapatkan hubungan sesama kita akan cuba menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Dedikasi dan komitmen para AJK lepas menubuh dan menggerakkan MGSS akan cuba kami kekalkan.

Pihak kami meminta maaf kepada semua ahli di atas kurangnya maklumat dan info terkini berkenaan MGSS selama 3 bulan lepas. Pihak kami telah 2 kali bermesyuarat peringkat Majlis Tertinggi bagi memperkemaskan Jawatankuasa Tertinggi MGSS serta peringkat bandar/ahli-ahli dan merangka perancangan tahunan MGSS untuk tahun ini.

Yang menjalankan tugas,

Presiden MGSS 2005
Bingen am Rhein, den 1.4.2005